Recent Posts

Monday, November 7, 2011

Berkorban atau Terkorban.

Gema takbir dan tahmid di pagi raya mengingatkan saya kepada satu kisah pengorbanan agung Ibrahim A.S dan Ismail A.S suatu ketika dahulu. Bagaimana komitednya nabi Ibrahim A.S. dalam melaksanakan wahyu Allah yang diilhamkan melalui mimpi baginda untuk menyembelih anak baginda sendiri tanpa banyak soal, dan betapa sabar dan tabah Ismail A.S. dalam mereliasasi perintahNya walau nyawa sendiri menjadi taruhan. Perintah tersebut dilaksanakan dengan penuh ketaqwaan, serta dengan penyerahan diri yang sepenuhnya kepada Allah Taala. Sehingga akhirnya, di saat pisau sembelihan itu sudah mencecah leher Ismail A.S., Allah  menggantikan Ismail A.S dengan seekor kibas.


 Kisah ini dirakamkan dalam  surah As-Saffat ayat 102, bermaksud:


“Maka ketika anaknya itu sampai (pada umur yang mencukupi) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka berikanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar.” 


Beberapa ibrah yang dapat saya simpulkan  daripada kisah ini


1.Setiap yang mengaku dirinya beriman pada Allah dan rasulNya, pasti akan diuji untuk membenarkan keimanan tersebut. Ujian-ujian ini tidak lain hanyalah untuk meneguh serta menguatkan iman dan ta'abbud seseorang hamba kepada Rabbnya.


2. Bagaimana nabi Ibrahim A.S. dengan segera melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih anaknya, walaupun perintah tersebut adalah amat berat dan sukar bagi seorang bapa yang begitu sayangkan anaknya. Hal ini menggambarkan kepada kita bahawa perintah dan syariat Allah itu harus dilaksana dengan segera samada susah, mahupun senang, rela atau terpaksa.   Itulah erti pengorbanan hakiki yang perlu difahami oleh para daie khususnya, kerna agenda menegakkan agama suci ini, harus dibayar dengan pengorbanan yang tidak berbelah oleh para pendokongnya.


3. Walaupun nabi Ibrahim boleh berdoa meminta diringankan ujian tersebut, Nabi Ibrahim sendiri tidak banyak soal mahupun meminta diringankan ujian, malah cuba melaksanakannya dengan sepenuhnya mengharapkan keredhaan daripada Allah Taala.Tahap ketaatan seumpama ini hanya akan diperoleh dengan penyerahan diri yang sepenuhnya kepada Allah dalam segenap urusan hidup selepas berusaha sebaik mungkin. Atau dengan kata lain, tawakkal. Wahai saudara, bergembiralah bilamana anda merasa jalan dakwah ini amat sukar dan melelahkan- kerana itu bererti anda masih belum tersimpang daripada erti perjuangan dan pengorbanan yang sebenar. Berikhtiar sebaik mungkin, kemudian tawakal dan yakinlah dengan janji Allah- nescaya segala urusan kita akan terasa lebih mudah dan ringan.


3. Nabi Ibrahim meminta terlebih dahulu pendapat anaknya Ismail A.S. meskipun baginda tahu itu perintah tersebut adalah arahan daripada Allah. Ini menujukkan betapa berhikmah itu perlu dalam melaksanakan syariatNya,serta meminta pandangan terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu amal adalah sesuatu yang perlu dan tidak dilarang.


4. Nabi Ismail tabah menerima perintah tersebut- walaupun terpaksa bekorban nyawa, malah cuba mententeramkan ayahnya dengan mengatakan 


“Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar.” 


Jika kita benar-benar ingin bekorban di atas jalan ini, janganlah mengimpikan lagi hidup bersenang-lenang dengan kesusahan yang sikit-sikit sahaja. Lihat saja orang-orang terdahulu sebelum kita- malah berkorban nyawa demi mnegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.Tak perlu jauh, lihat saja kisah Bilal, Sumayyah, malah Zainab al-Ghazali yang bekorban jiwa dan raga mereka.Takkanlah kita mudah sangat nak menyerah hanya dengan tekanan emosi, cemuhan dan bangkangan daripada orang yang tidak setuju dengan apa yang kita perjuangkan? Andai kita benar yakin dan faham dengan apa yang kita seru dan bawa, sepatutnya segala macam tentangan daripada luar takkan berhasil menggoyahkan pendirian kita. Adakah kita golongan yang benar faham ataupun tahu ikut-ikut sahaja?


Akhirnya, saya mengajak para pembaca, juga diri saya sendiri untuk merenung kembali, sejauh dan sebanyak mana kita telah bekorban atas jalan dakwah dan tarbiyyah ini- sehingga kita senang hati untuk mengatakan kita adalah golongan yang benar-benar layak untuk digelar seorang mukmin yang beramal .Layakkah kita menjejak syurgaNya, andai hanya sedikit amal yang ikhlas berjaya diusahakan sepanjang perjalanan ini? 


Ayuh koreksi semula, dengan segala pengorbanan yang dilakukan oleh nabi Muhammad S.A.W serta generasi terdahulu sehingga akhirnya Islam yang tulen ini sampai kepada kita - apa pula pengorbanan yang telah kita lakukan semata-mata kerana Allah untuk memastikan akhirnya deen ini terus sampai kepada hati-hati yang lain, tanpa sebarang penyelewengan?

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin jiwa dan harta mereka dengan mendapatkan surga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh.”
  ( surah At-Taubah: 111)      




                                                                                                                              






 Andai kita gagal untuk bekorban demi agamaNya, maka kita mungkin termasuk dalam kalangan yang terkorban dihanyut arus perdana masa kini. Moga saya dan anda tergolong dalam golongan yang benar-benar menghayati erti sebenar sebuah pengorbanan. Salam Aidil Adha!  




1 idea bernas lagi:

rara said...

semoga kita dipelihara-Nya. :)

Post a Comment